Wednesday 24 September 2014

DUA CIRI PENTING YANG DIMILIKI OLEH KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

^_^ Ciri-Ciri Kognitif

            Kognitif adalah merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental yang terlibat dalam beberapa keupayaan untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah, menaakul, menganalisis, dan membentuk konsep. Biasanya keupayaan kognitif kanak-kanak dalam golongan pintar cerdas ini dapat dikenalpasti seawal peringkat bayi lagi. Perkembangan kanak-kanak ini dapat diperhatikan dan dipantau oleh ibu bapa kerana biasanya mereka akan menunjukkan perkembangan yang lebih jauh berbanding dengan kanak-kanak seusianya. Sebagai ibubapa yang perihatin mereka akan memberikan sokongan dan tumpuan yang lebih bagi membantu perkembangan kanak-kanak ini. Tahap kebolehan kognitif kanak-kanak boleh diuji menggunakan ujian IQ.



Kanak-kanak pintar cerdas biasanya akan mencapai tahap pencapaian sebanyak 140, namun kadangkalanya mereka boleh mencapai sehingga 170 mata. Namun demikian, kesahihan ujian ini masih boleh dipertikaikan kerana ada yang mengatakan perbezaan tahap umur akan menjejaskan perbandingan pencapaian dalam ujian IQ ini. Di bawah ini akan disenaraikan beberapa ciri kognitif[3] kanak-kanak pintar cerdas. Antaranya ialah;
 a) Daya tumpuan yang tinggi dalam melakukan sebarang kerja atau aktiviti.

            Contohnya kanak-kanak yang diberikan permainan “blok dan puzzle” akan berusaha sedaya upaya bagi melengkapkannya. Mereka akan meninggalkan atau tidak menghiraukan orang atau keadaan sekeliling mereka kerana daya tumpuan mereka terhadap aktiviti yang menarik minat mereka yang terlalu tinggi. Mereka juga kurang berminat dengan permainan yang dimilki oleh rakan mereka. Dalam proses pembelajaran pula, mereka akan memberi sepenuh tumpuan mereka kepada bidang yang mereka minati.
b) Boleh dan mempunyai minat membaca diusia yang muda.
            Biasanya kanak-kanak ini akan mula boleh membaca dalam usia kurang daripada 5 tahun. Mereka juga akan fasih bercakap disamping boleh menggunakan laras bahasa dan kosa kata yang tinggi jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang seusianya.
c) Mempunyai kelebihan yang luar biasa dalam mengingat sesuatu.
            Dengan kelebihan yang mereka ada, mereka tidak perlu menghafal sesuatu fakta atau ilmu yang mereka pelajari. Mereka hanya perlu memahami isi kandungan dan akan meluahkan semula menggunakan bahasa sendiri. Kelebihan yang ada juga dapat membolehkan mereka membaca dengan cepat dan cepat memahami apa yang mereka ingati.
d) Perasaan ingin tahu
            Disebabkan perasaan ingin tahu mereka yang kuat, kanak-kanak pintar cerdas biasanya akan sentiasa mengemukakan soalan-soalan yang mencabar dan inovatif yang mana kadangkalanya pemikiran mereka diluar jangkauan akal kanak-kanak normal. Pada peringkat kanak-kanak lagi sifat ini boleh dikenalpasti, contohnya mereka akan membuka kereta mainan mereka untuk mengetahui komponen-komponen yang ada dalam kereta tersebut. Kadangkalanya sifat ini akan dikenalpasti sebagai perosak oleh ibubapa yang kurang memahami anak mereka yang pintar cerdas.
e) Kebolehan membuat rumusan, menganalisa dan menaakul
            Kanak-kanak pintar cerdas bukan sahaja mampu untuk memahamai pelajaran malah mereka juga boleh membuat rumusan ke atas proses pengajaran dan pembelajaran serta boleh menganalisa dan memberi alasan kepada keputusan yang diambil selepas sesuatu analisa dibuat.


^_^ Ciri-Ciri Afektif

            Ciri kedua yang akan dibincangkan di sini ialah ciri-ciri afektif kanak-kanak pintar cerdas. Menurut kamus Dewan edisi keempat, afektif adalah berkaitan dengan perasaan dan emosi dan bukannya fikiran atau daya berfikir. Untuk memperkembangkan minat dan motivasi di kalangan kanak-kanak ciri-ciri afektif haruslah berkembang serentak dengan ciri-ciri kognitif mereka. Manakala menurut Krathwohl dan rakan-rakannya (1964) iaitu orang pertama yang menggunakan terminology ‘afektif” telah menemukan satu lagi domain penting adalam perkembangan manusia iaitu afektif.
[4]Antara ciri-ciri afektif kanak-kanak pintar cerdas ialah;
a) karismatik
            Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya mempunyai gaya tersendiri dan personaliti yang agak berbeza daripada orang lain. Oleh itu biasanya mereka akan menjadi bintang di sekolah dimana mereka akan menjadi perhatian dalam masyarakat di sekelilingnya.
b) Mementingkan kesempurnaan (Perfectionist)
            Kanak-kanak pintar cerdas ini akan melakukan kerja-kerja dengan penuh minat dan mereka amat mementingkan kesempurnaan. Walaupun mereka dapat menyiapkan kerja-kerja mereka namun masih mementingkan kepada kesempurnaan dan sikap ini akan menyebabkan mereka meluangkan banyak masa terhadap apa jua kerja yang dilakukan. Kadangkalanya mereka akan melakukannya sehingga berulang kali bagi mendapatkan hasil yang benar-benar memuaskan hati mereka. Sikap ini juga kadangkalanya akan menimbulkan kemarahan dan ketidak puasan hati mereka terhadap orang lain atau rakan-rakan mereka kerana mereka juga akan menjangkakan hasil yang sama seperti yang dilakukannya daripada orang lain.
c) Berasa tertekan dan mudah sensitif
            Sebagai seorang yang bersikap teliti dan mempunyai matlamat sendiri semenjak dari awal lagi, mereka akan mudah rasa tertekan dalam usaha untuk mengatasi orang lain. Sikap ini juga menunjukkan bahawa mereka takut kalah kepada orang lain dan akan mencetuskan kesan sosio emosi yang lain seperti cemburu. Kanak-kanak pintar cerdas biasanya mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Mereka akan berfikir di luar jangkauan kanak-kanak normal dan ini akan menyebabkan mereka mudah terangsang. Contohnya ketika tidur, mereka mudah terjaga kerana terlalu memikirkan imaginasi mereka. Mungkin bila menonton cerita seram, mereka mula memikirkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan rentetan cerita tersebut. Berikutan dengan sikap ini mereka mungkin akan menjadi fobia kepada bencana seperti kegelapan dan kematian kerana mereka akan sentiasa memikirkan. Contohnya mereka akan selalu bertanya mengenai soal kematian, apa yang berlaku kepada manusia selepas mati, boleh tak kalau manusia tak mati. Persoalan-persolan seumpama ini akan menyebabkan mereka menjadi terlalu sensitif dan fobia kepada sesuatu kejadian.

No comments:

Post a Comment