Memandangkan kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kemahiran belajar yang
berlainan daripada kanak-kanak biasa maka para pendidik perlu merangka
satu program pendidikan khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak ini.
Menurut
Nik Azis Nik Pa dan Noor Aini Khalifah (1982), program pendidikan
kanak-kanak pintar cerdas ini terbahagi kepada tiga bentuk umum iaitu
pengayaan, percepatan dan pengelompokan.
Program pengayaan terdiri daripada tiga jenis aktiviti iaitu pendedahan, latihan berkelompok dan penyelidikan masalah sebenar.
PROGRAM PENGAYAAN
Aktiviti pendedahan
Murid diberi kebebasan atau
ruang untuk mempelajari bidang yang diminati. Satu sudut yang lengkap
dengan pelbagai bahan pengayaan disediakan di bilik darjah.
Maklumat-maklumat pengayaan seperti apa yang menarik dalam bidang
tersebut , dari mana boleh mendapatkan maklumat tambahan, apakah isu-isu
semasa dalam bidang ini, disediakan. Selain daripada majalah, pampflet
dan buku-buku, guru juga perlu mengadakan aktiviti lawatan, ceramah,
tayangan video dan sebagainya sebagai aktiviti pendedahan.
Latihan berkelompok
Ini
merupakan program latihan bagi meluaskan skim pemikiran kanak-kanak.
Antara aktiviti latihan ini termasuklah pemikiran kritis, penyelesaian
masalah, kaedah projek dan inkuiri-penemuan.
Penyelidikan masalah sebenar
Kanak-kanak pintar cerdas diberi latihan secara kumpulan kecil. Mereka
diberi latihan dan bimbingan khusus untuk menyelidik masalah sebenar.
Aktiviti ini menggunakan teknik inkuiri-penemuan iaitu kanak-kanak
pintar cerdas tadi bermula dengan pembentukan sesuatu masalah, memahami
masalah yang dibentuk, menyediakan pelan tindakan, menjalankan rancangan
penyelidikan, membuat laporan dan membuat refleksi untuk membina skim
penghayatan yang mantap.
PROGRAM PENCEPATAN
Ini bermaksud kurikulum yang
diajar kepada kanak-kanak pintar cerdas itu dihabiskan dengan cepat.
Ada beberapa cara untuk melaksanakan program ini seperti kanak-kanak
yang lebih muda memasuki tahun satu persekolahan, melangkaui kelas,
melangkaui sebahagian daripada masa kelas untuk mengikuti mata pelajaran
tertentu dalam kelas yang lebih tinggi (mengikut minat dan perkembangan
intelek) dan memendekkan tempoh pengajaran seperti kurikulum setahun
diajar dalam tempoh 6 bulan dan lebihan masa iti digunakan untuk
mempelajari kurikulum yang lebih tinggi.
PROGRAM PENGELOMPOKAN
Program
ini menentukan bahawa kanak-kanak dalam kategori pintar cerdas ini
dikumpulkan dalam satu kelas dan diberi bimbingan yang sesuai oleh guru
yang terlatih. Program pengelompokan ini memerlukan satu penilaian yang
standard untuk menentukan tahap kanak-kanak pintar cerdas. Langkah ini
juga dapat memberi peluang kepada kanak-kanak pintar cerdas untuk
menikmati pembelajaran yang lebih sempurna.
Komputer dan Kanak-kanak Pontar Cerdas
Geoffrey
Jones dalam artikelnya bertajuk, “Personal Computers Help Gifted
Students Work Smart” telah menggariskan kebolehan-kebolehan komputer
dalam memenuhi keperluan belajar kanak-kanak pintar cerdas. Antaranya
ialah :
o Teknologi komputer yang fleksibel akan memudahkan gaya
pembelajaran dan minat individu untuk berinteraksi dengan gambar,
perkataan, nombor atau sebarang medium yang memberi keselesaan kepada
pelajar.
o Struktur pengalaman yang direka oleh guru-guru terlatih
akan membantu pelajar untuk membina kekuatan dan mengatasi
kelemahan-kelemahan mereka. Word Processors dapat memperbaiki penulisan
dan pengolahan idea-idea. Program-program komputer yang berkaitan dengan
data statistik boleh membantu pelajar menyelesaikan pelbagai soalan
yang mencabar minda mereka. Pelajar-pelajar akan bertambah yakin membina
pelbagai “skills” mereka.
o Komputer juga boleh digunakan untuk
menyaingi kehendak pelajar. Komputer dapat “bersabar” dan menguasai pada
satu-satu idea untuk jangka masa yang panjang. Komputer juga boleh
melakukan kerja-kerja yang kompleks apabila para pelajar telah bersedia
untuk menggunakannya.
o Apabila para pelajar telah menerima sesuatu
tanggungjawab dan menguasai penggunaan komputer, mereka akan bekerja
dengan lebih cekap. Komputer berkhidmat untuk masyarakat. Semakin baik
pemahaman pelajar tentang proses pembelajaran, mereka akan dapat
menggunakan teknologi ini dengan cekap.
o Masyarakat belajar
daripada masyarakat. Maklumat dan idea daripada masyarakat luar boleh
didapati dari komputer. Para pelajar akan dapat dihubungkan melalui
“software”, papan buletin atau perbincangan dan projek kumpulan. Para
pelajar akan lebih terdedah kepada golongan masyarakat yang berilmu dan
bijak menerusi teknologi komputer ini.
KESIMPULAN
Kanak-kanak
pintar cerdas adalah satu anugerah yang diberikan oleh Allah kepada
makhluk-Nya. Peranan ibu bapa, pendidik, dan masyarakat amat diperlukan
untuk membentuk kanak-kanak pintar cerdas ini menjadi satu aset yang
paling berharga dalam masyarakat. Kepintaran dan kecerdasan kanak-kanak
ini bukan hanya dibangunkan dari aspek intelek semata-mata malah
pembangunan akhlak atau spiritual amatlah dipentingkan. Tidak hairan
kepada kita sekiranya ada kanak-kanak pintar cerdas ini yang hanya
menjadi penjual rokok di tepi jalan atau penebar roti canai kerana
masalah kemiskinan atau mungkin disebabkan oleh ketidakprihatinan
masyarakat pada kebolehan yang ada pada kanak-kanak tadi.
No comments:
Post a Comment