Wednesday, 17 September 2014

ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA

            Pemerdagangan manusia yang berlaku di Malaysia melibatkan eksploitasi seks, perkhidmatan paksa, penyeludupan, eksploitasi untuk visa dan penjualan bayi. Hampir keseluruhan kes pemerdagangan manusia ini melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tujuan asalnya datang untuk mencari rezeki sebelum dieksploitasi oleh pihak tengah dan akhirnya terlibat dengan pelbagai masalah yang sangat memberi kesan kepada negara dari pelbagai aspek termasuklah dari aspek politik, ekonomi dan sosial.            Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, bagi kebanyakan kes telah berlaku penurunan sepanjang 2010/2011, namun negara kita masih perlu memerangi kes pemerdagangan orang di negara kita agar negara kita menjadi sifar jenayah pemerdagangan orang.Butiran yang dinyatakan dalam gambar di atas ialah statistik kes  sepanjang tahun 2011  dan  terdapat 52 kes melibatkan eksploitasi seks dan 45 kes melibatkan perkhidmatan secara paksa. Bagi aktiviti menyalahi undang-undang pula, terdapat 10 kes eksploitasi untuk Visa dan 9 kes penjualan bayi.

  • Penjualan Organ
            Penculikan kanak-kanak banyak dikaitkan dengan penjualan organ dalam pasaran gelap. Kanak-kanak  yang biasanya menjadi mangsa adalah berusia seawal 3 hingga 14 tahun diculik untuk diperdagangkan organnya kepada orang yang memerlukan organ. Walaupun golongan wanita juga turut terlibat namun fokus utama sindiket penjualan organ adalah kepada kanak-kanak. Hal ini demikian kerana organ kanak-kanak masih sihat dan tidak banyak penyakit berbanding dengan organ orang dewasa terutama sekali bagi organ  lelaki khususnya. Selain itu juga kanak-kanak juga tidak mempunyai kudrat yang banyak bagi melindungi diri apabila berada dalam keadaan bahaya dan hal ini lebih memudahkan penjenayah melakukan penculikan organ tersebut.
            Dalam kes ini, selain diculik bagi mendapatkan organ, badan kanak-kanak yang di ambil organnya itu tadi akan diisi dengan dadah bagi tujuan penyeludupan dadah ke luar negara. Sebagai contoh perkara ini telah berlaku di luar negara seperti kes yang terjadi di Mexico pada awal Julai 2013 apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang ketika melawat negara itu bersama keluarganya. Ibunya yang menyedari kehilangan anaknya selepas 45 minit di sempadan negara tersebut kemudian mendapati terdapat seorang lelaki yang membawa seorang kanak-kanak lelaki seiras dengan anaknya.            Lelaki tersebut yang menyedari diperhatikan wanita berkenaan segera melarikan diri dan meninggalkan jasad kanak-kanak lelaki berkenaan. Setelah melalui pemeriksaan, kanak-kanak itu sudah mati dan hampir keseluruhan organ dalamannya diambil dan digantikan dengan sejumlah dadah jenis kokain.            Kes ini juga banyak berlaku di negara-negara miskin dan ramai penduduk seperti Pakistan, India, Bangladesh, China dan beberapa negara lagi. Mereka menjualnya kepada sindiket yang menguruskan penjualan organ tersebut yang melibatkan klinik-klinik swasta yang sanggup bekerjasama dan tidak bertanggungjawab demi mendapatkan keuntungan.
            Sindiket penjualan organ biasanya akan menculik kanak-kanak yang tidak dikawal ketat oleh ibu bapa mereka. Bagi mendapatkan organ kanak-kanak ini, mereka akan membius kanak-kanak tersebut sebelum mula membedah bagi mendapatkan organ dalaman tersebut. Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dianggarkan 10 peratus dari 70,000 buah pinggang yang dipindahkan setahun mungkin berasal dari pasaran gelap. Kebanyak organ yang seringkali menjadi permintaan adalah buah pinggang, usus, mata, paru-paru dan otak.

  • Pelacuran
            Secara definisinya, pelacuran merupakan penjualan khidmat seksual oleh pelacur wanita atau pelacur lelaki untuk mendapatkan wang ataupun sebarang imbuhan seperti dadah, barang kemas, mahupun hartanah. Melihat kembali kepada sejarah pelacuran di Malaysia, kegiatan ini telah bermula sebelum Malaysia merdeka lagi. Malaysia yang dikenali sebagai Tanah Melayu pada ketika dahulu memulakan kegiatan ini bermula pada zaman penjajahan Inggeris apabila mereka membawa masuk imigran Cina dan India untuk bekerja di Tanah Melayu. Apabila kegiatan ekonomi ini bertambah pesat, bagai cendawan tumbuh selepas hujan maka kegiatan pelacuran turut diwujudkan bagi memenuhi permintaan imigran-imigran ini. Kegiatan pelacuran di Tanah Melayu pada ketika itu terus berkembang pesat hingga menyebabkan pihak Inggeris mewujudkan Ordinan Wanita dan Gadis 1870 yang menetapkan bahawa setiap rumah pelacuran atau rumah sundal didaftar.            Secara umumnya, hal ini demikian turut dikaitkan dengan pemerdagangan manusia berikutan kebanyakan manusia yang terdiri daripada wanita kebiasaannya diperdagangkan dan dijual sebagai pelacur kerana mereka ini mudah dimanipulasikan pemikirannya. Kegiatan ini biasanya mempergunakan dan mengeksploitasi wanita dari seawal 10 tahun. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh PBB pada tahun 2006 di seluruh dunia, dianggarkan daripada 800 000 orang yang di seludup masuk dan diperdagangkan, 80% adalah merupakan wanita dan lebih malang lagi 50% yang seterusnya adalah kanak-kanak. Jumlah ini walau bagaimanapun tidak termasuk yang berlaku di Malaysia. Malaysia ini sendiri menjadi transit utama bagi penyeludupan manusia untuk diperdagangkan sebagai pelacur khususnya wanita dan kanak-kanak bagi negara yang penduduknya miskin dan berdekatan dengan Malaysia seperti Indonesia, China, Kemboja dan beberapa negara lagi.            Kebanyakan kegiatan pelacuran di Malaysia kini berlaku disebabkan oleh pendatang asing yang di seludup dari negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Vietnam dan beberapa lgi negara lain. Berikut merupakan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang tangkapan wanita warga asing yang dipercayai dieksploitasi untuk menjadi pelacur di negara ini bagi Januari hingga September tahun 2011/2012.
  • Penjualan Bayi
            Penjualan bayi adalah merupakan aktiviti yang melibatkan wanita yang mempunyai anak namun tidak  mahu atau tidak mampu menjaga anak tersebut, lalu dijual kepada sindiket penjualan bayi atau terus kepada keluarga baru bayi tersebut demi mendapatkan wang. Aktiviti penjualan bayi ini melibatkan orang tengah yang sedaya upaya mengaut keuntungan atas masalah orang lain. Bayi yang dijual di pasaran gelap akan dijual mengikut kesihatan, jantina, bangsa dan warna kulit serta mengikut permintaan dan penawaran kedua-dua pihak. Dianggarkan harga bayi yang dijual sekitar RM10,000 hingga RM20,000 seorang.
            Dalam konteks ini, sesetengah kes ada yang menempah bayi lebih awal daripada ibu yang sedang mengandung bermula dari usia kandungan dua bulan lagi. Dalam tempoh ibu itu mengandung sehingga bersalin, keluarga yang menempah bayi tersebut akan menyediakan semua keperluan ibu tersebut dari pelbagai aspek termasuklah soal permakanan, ubat-ubatan dan herba, makanan tambahan serta keperluan harian. Hal inidemikian kerana bagi menjamin kesihatan dan kesempurnaan bayi yang bakal dilahirkan itu. Ibu yang mengandung itu  juga diberikan wang bagi membeli bayi tersebut. Bayi yang sihat dan sempurna serta comel dijual dengan harga yang sangat tinggi. Hal ini demikian kerana ia adalah lumrah kehidupan bahawa semua manusia mahu anak yang comel dan sempurna. Oleh yang demikian, orang tengah yang menjadi sindiket penjualan bayi tersebut akan berurusan dengan penjual dan pembeli bayi bagi mengaturkan semua urusan penjualan bayi dari sudut penjagaan ibu mengandung di rumah penjagaan haram sehinggalah urusan dokumen bayi tersebut. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibupejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan menjelaskan, wanita yang dihantar ke pusat penjagaan haram ini biasanya terdiri daripada gadis yang mengandung anak luar nikah serta wanita warga asing yang tidak mahukan bayi dalam kandungan mereka dan rela menjualnya untuk mendapatkan wang.            Orang yang membeli bayi ini adalah terdiri daripada suami isteri yang tidak mampu memperoleh anak bagi mengisi kekosongan rumah tangga.  Selain orang bujang yang kesunyian kerana tidak mempunyai teman hidup atas beberapa alasan. Jadi mereka ini akan mengambil anak angkat yang dijual oleh sindiket penjualan bayi ini. Ada juga bayi yang dibeli bagi tujuan pengeksploitasian kanak-kanak di mana mereka dijual kembali bagi tujuan eksploitasi seks dan juga kegiatan mengemis. Biasanya bayi yang rendah harganya atau tidak dapat dijual akan dijaga dan dibesarkan oleh sindiket-sindiket yang berkaitan bagi menjadi pengemis atau pelacur.
            Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie, statistik menunjukkan 32 kes pemerdagangan bayi direkodkan di seluruh negara sejak tahun 2010 dan membabitkan 13 kes pada tahun 2010, 11 kes pada tahun 2011 dan lapan kes sehingga Julai 2012. Bayi yang dijual kebanyakannya berusia antara lima hingga tujuh hari yang dijual dengan harga antara RM15,000 hingga RM20,000.
            Terdapat juga kes penjualan bayi dalam kalangan masyarakat pedalaman, menurut Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy. Hal ini kerana disebabkan taraf sosioekonomi sesebuah keluarga yang sangat terdesak dan memerlukan wang menyebabkan mereka rela menjual bayi mereka kepada sindiket penjualan bayi ini tanpa ras belas dan kasihan.
            Kes penjualan bayi ini secara kasarnya susah untuk dikesan kerana terdapat kerjasama antara sindiket penjualan bayi dan pihak klinik swasta yang mahu mengaut keuntungan dengan memalsukan dokumen kelahiran bayi bagi memudahkan penjualan bayi tersebut berlaku. Ini menunjukkan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment